Sunday, January 4, 2009

Pelestin dan Mahasiswa...di manakah kita?

Saat artikel ini ditulis, genap 7 hari Israel Zionis melancarkan serangan berdarah terbesar sejak tragedi Nakba pada di bumi bergolak Palestin. Korban kekejaman ini berjumlah 428 orang dan sentiasa meningkat. Kami, Pelajar Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap penduduk Palestin. Keputusan kerajaan Israel pimpinan si pengecut Ehud Olmert untuk menyerang Gaza disifatkan tindakan bacul demi memenuhi hasrat kejam Israel. Ketamakan Sang Zionis mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka amat menjelekkan masyarakat dunia.

Diakui isu Palestin sedia maklum pada segolongan besar individu namun masih tidak mampu untuk dihayati. Polemik yang berlaku dalam realiti kehidupan adalah pabila di bangkitkan isu berkenaan Palestin, yang bermain di minda adalah sumbangan, derma dan tabung. Pemikiran sadis ini memanifestasikan serata rakyat belum jelas dengan kewajipan untuk membela dan berkemungkinan tidak mengetahui medium untuk menyalurkan bantuan. Tika menghulurkan bantuan, masih lagi menyokong rejim Israel. Mana tidaknya, berhimpun beramai-ramai demi menunjukkan keprihatinan bertujuan mendesak pihak tertentu untuk bertindak membela Palestin, derma disalurkan namun pada masa yang sama meneguk produk Israel. Contoh yang senang, si ayah melarang anak untuk menghisap rokok, tetapi pada masa yang sama si ayah sedang berkepul – kepul menghembuskan asap rokok dengan rokok Dunhill di tangan.

Wahai golongan mahasiswa sekalian!

Anda bakal mencorak dunia. Inilah masanya untuk anda menunjukkan daya keintelektualan anda yang sebenar, setelah berpenat lelah menelaah buku teks yang berjela – jela tebalnya. Inilah medannya untuk kita berpencak dan bersilat. Suara mahasiswa merupakan suara keramat, setiap pendapat mahasiswa ditagih, setiap butir bicara mahasiswa diteliti kerana mahasiswa adalah aset negara. Ayuh, gunakan segala pengaruh, peluang, kenalan malah apa – apa sahaja untuk menyatakan ketidakpuashatian kita kepada Israel dan seterusnya menyedarkan kepada orang ramai bahawa isu Palestin bukan hanya isu rakyat dan negara Palestin, bahkan isu ini melibatkan setiap manusia di muka bumi ini yang melaung – laungkan untuk hidup aman di dunia ini. Jika anda seorang blogger, gunakan blog anda. Jika anda seorang pemimpin persatuan, sebarkan di kalangan ahli – ahli. Jika anda berbakat dalam penulisan, poskan ketidakpuashatian kepada akhbar – akhbar utama. Jika anda seorang ahli sukan, kongsikan bersama rakan – rakan anda. Usah ditanya kesannya, jika kita tidak memulakannya. Usah ditagih hasil yang bergemerlapan, jika usahanya sekecil zarah.



Wahai rakyat Palestin,

Maafkan kami atas ketidakupayaan kami. Sekarang, kami terlalu lemah untuk membelamu dari kejahatan Israel pengecut. Kami terlalu leka dengan kesenangan di bumi kami sehinggakan melupakan kesengsaraan mu. Pandangan kami dikaburi dengan bermacam – macam kenikmatan. Keselesaan kami membutakan kami dari keperitan mu. Berikan kami masa, akan kami pastikan tenaga – tenaga muda kami bersedia untuk berdiri disebelahmu, berlari di hadapanmu, melontarkan hujah – hujah untuk membantumu dan apa saja usaha untuk menamatkan kezaliman yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya ini. Itu janji kami.