Monday, March 9, 2009

Rinduku padamu Ya Rasulallah....


Kata - kataku diuji

Setelah selesai berusrah dengan sahabat - sahabat, setiap kata -kataku diuji. Usrah kami membincangkan berkenaan Jihad dan Pengorbanan dan siapa lagi tokoh yang dapat kita paling contohi kalau tidak Nabi Muhammad S.A.W. Kami membongkar dan menyelingkap setiap susur galur pengorbanan Rasulullah sehingga saat wafatnya baginda dalam tangisan seluruh umat Islam Madinah. Terasa rindu padanya semakin membara, namun apakah diri ini layak berhadapan dengan insan semulia baginda?

Setelah selesai usrah, keretaku perlu diisi dengan hidrokarbon bagi membolehkannya bergerak. Untuk itu, aku pergi ke bank untuk mengeluarkan wang. Setelah selesai mengeluarkan wang dan melangkah masuk dari kereta, ku memasukkan kunci bagi menghidupkan keretaku. BANG!!!! Kereta di hadapanku dengan yakinnya undur bagaikan keretaku ini kereta James BOnd yang halimunan. Akibatnya, berderailah kaca cermin lampu sebelah kiriku.


Marah. Panas hati. Tak puas hati. Kepanasan. "Baru nak start kereta dah kene sondol pulak" hatiku mengomel. Alhamdulillah, segalanya dapat diselesaikan dengan baik dan si pemandu tersebut berjanji membayar ganti rugi setelah memberikan kepadaku nombor handset nya.

Namun begitu, perasaan marahku masih membara. Terpaksa menggunakan duit sendiri dahulu, masa lagi, akan terpaksa dikorbankan untuk membaiki keretaku nanti. Ahhhh, menyusahkan betul. Sepanjang perjalanan ke stesen minyak hingga ke bilik, diriku penuh dengan perasaan tak puas hati.

Setelah cool down, lantas hadir ke benak fikiranku, apa yang dibincangkan dalam usrah. Hanya diuji dengan perkara sekecil itu, sudah terbakar hatiku. Sedangkan Rasulullah, sepanjang hidupnya dipenuhi dengan pengorbanan, untuk melihat umatnya menyembah tidak lain Allah Yang Esa. Setiap saat hidupnya memikirkan umatnya yang tercinta. Air matanya menitis kasihan kepada umatnya. Saat kewafatannya dipenuhi dengan ingatan kepada umatnya. Rinduku padanya tidak dapat dipendam lagi, lantas mengalir air mata kerinduan yang menginginkan pertemuan dengan baginda. Mahukah baginda bertemu denganku? Layakkah aku yang kotor ini memeluk jasad semulia baginda? Layakkah aku yang berdosa ini meminta syafaat daripada baginda di hari perhitungan nanti?

Ya Allah, matikanlah aku dalam kebaikan, dan janganlah Kau matikan aku dalam keburukan. Amin.

Friday, March 6, 2009

Perjalanan ke KL



International Conference for Youth on Terrorism.

Perjalananku ke Kuala Lumpur minggu lepas membawaku ke satu seminar,International Conference for Youth on Terrorism. Hotel Nikko,kalau tidak silap itulah nama hotel yang menjadi tempatku berteduh dari panas hujan sepanjang 4 hari pemergianku itu.

International Conference for Youth on Terrorism.

Apekah itu? Ringkas kata, satu seminar yang menggabungkan pimpinan - pimpinan dan wakil - wakil dari setiap pelosok dunia dengan satu tujuan, untuk mengenalpasti peranan dan watak yang boleh dimainkan oleh pemuda remaja dalam membanteras keganasan. Terima kasih Kementerian Penerangan dan Kementerian Pelajaran atas penganjuran seminar ini. Hakikatnya, terima kasih kepada pembayar cukai sekalian atas kesudian semua bagi membayar cukai supaya kementerian - kementerian ini mempunyai bajet yang mencukupi.

Hasil?
alhamdulillah, setelah dua hari bersidang dan berkonferens,satu deklarasi telah dapat dihasilkan walaupun dengan sedikit kontroversi yang timbul. Biasalah tu, apabila golongan muda yang berdarah muda bersidang, mana boleh tenang je. Mestilah ada hujan ribut, barulah bergelegak jiwa muda remaja itu.

Deklarasi itu dikatakan akan dihantar kepada UNESCO bagi tindakan susulan. Wahai UNESCO, bacalah deklarasi kami itu dengan sebijak - bijaknya, bukan sedikit duit rakyat kami dibelanjakan untuk menghasilkan deklarasi itu.

Suci dalam Debu?



Konferens selama dua hari. Siangnya penuh dengan ilmu - ilmu dan idea - idea ke arah membendung keganasan, alhamdulillah. Baru tersingkap sedikit olehku bahawa masih ramai di dunia ini golongan yang ingin memperjuangkan keamanan di dunia ini.


Malamnya dihiasi dengan Majlis Makan Malam yang membawakan budaya tempatan, walaupun adalah yang tidak persembahan yang tak berapa nak tempatan. Farhan AF4 dan Noreen Azizi, nama - nama yang tidak kukenali, tapi itulah yang diberitahu oleh kawanku dari Universiti Putra Malaysia akan nama - nama artis yang naik ke pentas itu. Lenggangya, ayunya sedikit memeningkan kepalaku. Lantas aku tekad membuat keputusan untuk menhirup udara di luar, meninggalkan makan malam yang memang menggiurkan selera dan mahal. Biarkan makanan itu disitu, asalkan imanku masih terpelihara.

Sepanjang di luar, aku menghabiskan masa bertukar pendapat dan mendengar kata - kata dan nasihat dari seorang veteran dan bekas aktivis pelajar ketika eranya dahulu, Raja Aminullah yang juga merupakan tuan punya galeri FineArt, galeri yang mengadakan pameran hasil - hasil seni yang bertemakan keganasan. Sekalipun berpendidikan Kejuruteraan Petroleum yang saban hari menhadap mesin - mesin yang bpelbagai nama, namun ada lah juga sedikit seni dalam diri bagi menginterpretasi hasil - hasil seni yang dipamerkan.





Believe it or Not

Malam pertamaku di Hotel Nikko membuatku tidak dapat tidur, mungkin kerana tidak biasa dengn keempukan katil dan kecanggihan peralatan - peralatan yang terhidang di hotel 5 bintang itu. Lantaklah, ku gagahi untuk memejamkan mata, namun apakan daya tidak berdaya.
Kebetulan, betul - betul berhadapan dengan Hotel Nikko itu, 2 pusat karaoke yang berlainan taraf. Satu kelab karaoke yang eksekutif, yang satu lagi? Tentulah yang low sikit, untuk orang kebanyakan kot.
Keputusan ku tekad, ingin melihat realiti cara ahidup manusia - manusia yang hidup di kawasan yang paling maju di Malaysia ini.
Hasilnya,?! Biarlah aku simpan untuk bekalanku sendiri. Ternyata, aku bersyukur pada Allah S.W.T kerana memberikan peluang kepadaku untuk mengenali Islam terlebih dahulu.
Kasihan kerana mereka - meraka yang memenuhkan tempat - tempat itu tidak dapat merasai apa yang dirasai oleh orang Islam sebenarnya dan pejuangnya.

ya Allah, Kau limpahkanlah hidayah kepada semua orang Islam.


Tawa dalam lena,
Gembira dalam kesedihan,
Tewas dalam kejayaan,
Mati dalam hidup.

Thursday, February 19, 2009

Kekalutan dalam ketenangan

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Penuh cabaran, dugaan dan tribulasi. Itulah yang boleh disimpulkan melihat ketidakstabilan politik di negeri Perak ini, negeri tempatku menimba pelajaran. Perak, satu - satunya negeri yang mempunyai dua Menteri Besar pada satu - satu masa, Ir Nizar dan Zambry. Tatkala Menteri Besar asal masih sah dengan jawatannya, ditabalkan Menteri Besar kedua. Mungkin inilah yang hendak Allah tunjukkan kepada manusia. Sebijak manapun manusia itu menggubal undang - undang, seteguh mana pun perlembagaan satu - satu negeri, jika namanya ciptaan manusia, tetap ada titik - titik kelemahan. Di situlah kita menginsafi kejadian diri kita, yang diciptakan Allah sebagai ciptaan yang terbaik, tapi masih penuh dengan kelemahan - kelemahan.

Kita letakkan perkara pada tempatnya. Biarkan mereka dengan medan mereka, kerana kita ada medan kita debagai mahasiswa. Walaupun begitu, cakna kah golongan mahasiswa melihat perkembangan situasi ini? Persoalan ini ditujukan kepada mahasiswa2 yang berada di Perak. Atau mereka sedang asyik membelek buku - buku teks, menikmati nikmat- nikmat hari muda sehingga mencampakkan situasi politik ini jauh dari benak pemikiran?

Mahasiswa dan jiwa muda

Kita tidak harus gentar dan bimbang apabila melihat golongan - golongan muda memberi respon yang agresif. kita tidak bimbang mendengar ucapan - ucapan pemimpin muda yang kontroversi. Kita tidak kalut melihat pembabitan golongan ini dalam isu - isu semasa yang panas. Kerana inilah fitrah orang muda. Inilah sifat - sifat orang muda yang inginkan perubahan. Sungguhpun begitu, segala perbincangan, perdebatan, perbezaan pendapat di kalangan orang - orang muda ini haruslah dididik oleh golongan berpengalaman dan veteran supaya segala tindak tanduk mereka masih dalam norma peradaban manusia yang berintelek.

apa yang harus kita khuatirkan ialah golongan muda yang senyap, pasif, lembik, dayus dan yang seantara dengannya. Apabila disergah sedikit, senyap seribu bahasa. Apabila pendapatnya ditolak, putus asa tak sudah - sudah. Apabila ideanya dibangkang, membawa diri ke hujung dunia. Golongan inilah yang harus dirawat, kerana golongan ini tidak menuruti fitrah yang sepatutnya ada pada orang muda. Mereka tidak menjiwai semangat muda sebagaimana golongan - golongan sebelum mereka menjiwainya bahkan memperjuangkannya.

sekadar coretan di hari jumaat......

Sunday, January 4, 2009

Pelestin dan Mahasiswa...di manakah kita?

Saat artikel ini ditulis, genap 7 hari Israel Zionis melancarkan serangan berdarah terbesar sejak tragedi Nakba pada di bumi bergolak Palestin. Korban kekejaman ini berjumlah 428 orang dan sentiasa meningkat. Kami, Pelajar Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap penduduk Palestin. Keputusan kerajaan Israel pimpinan si pengecut Ehud Olmert untuk menyerang Gaza disifatkan tindakan bacul demi memenuhi hasrat kejam Israel. Ketamakan Sang Zionis mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka amat menjelekkan masyarakat dunia.

Diakui isu Palestin sedia maklum pada segolongan besar individu namun masih tidak mampu untuk dihayati. Polemik yang berlaku dalam realiti kehidupan adalah pabila di bangkitkan isu berkenaan Palestin, yang bermain di minda adalah sumbangan, derma dan tabung. Pemikiran sadis ini memanifestasikan serata rakyat belum jelas dengan kewajipan untuk membela dan berkemungkinan tidak mengetahui medium untuk menyalurkan bantuan. Tika menghulurkan bantuan, masih lagi menyokong rejim Israel. Mana tidaknya, berhimpun beramai-ramai demi menunjukkan keprihatinan bertujuan mendesak pihak tertentu untuk bertindak membela Palestin, derma disalurkan namun pada masa yang sama meneguk produk Israel. Contoh yang senang, si ayah melarang anak untuk menghisap rokok, tetapi pada masa yang sama si ayah sedang berkepul – kepul menghembuskan asap rokok dengan rokok Dunhill di tangan.

Wahai golongan mahasiswa sekalian!

Anda bakal mencorak dunia. Inilah masanya untuk anda menunjukkan daya keintelektualan anda yang sebenar, setelah berpenat lelah menelaah buku teks yang berjela – jela tebalnya. Inilah medannya untuk kita berpencak dan bersilat. Suara mahasiswa merupakan suara keramat, setiap pendapat mahasiswa ditagih, setiap butir bicara mahasiswa diteliti kerana mahasiswa adalah aset negara. Ayuh, gunakan segala pengaruh, peluang, kenalan malah apa – apa sahaja untuk menyatakan ketidakpuashatian kita kepada Israel dan seterusnya menyedarkan kepada orang ramai bahawa isu Palestin bukan hanya isu rakyat dan negara Palestin, bahkan isu ini melibatkan setiap manusia di muka bumi ini yang melaung – laungkan untuk hidup aman di dunia ini. Jika anda seorang blogger, gunakan blog anda. Jika anda seorang pemimpin persatuan, sebarkan di kalangan ahli – ahli. Jika anda berbakat dalam penulisan, poskan ketidakpuashatian kepada akhbar – akhbar utama. Jika anda seorang ahli sukan, kongsikan bersama rakan – rakan anda. Usah ditanya kesannya, jika kita tidak memulakannya. Usah ditagih hasil yang bergemerlapan, jika usahanya sekecil zarah.



Wahai rakyat Palestin,

Maafkan kami atas ketidakupayaan kami. Sekarang, kami terlalu lemah untuk membelamu dari kejahatan Israel pengecut. Kami terlalu leka dengan kesenangan di bumi kami sehinggakan melupakan kesengsaraan mu. Pandangan kami dikaburi dengan bermacam – macam kenikmatan. Keselesaan kami membutakan kami dari keperitan mu. Berikan kami masa, akan kami pastikan tenaga – tenaga muda kami bersedia untuk berdiri disebelahmu, berlari di hadapanmu, melontarkan hujah – hujah untuk membantumu dan apa saja usaha untuk menamatkan kezaliman yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya ini. Itu janji kami.