Thursday, February 19, 2009

Kekalutan dalam ketenangan

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Penuh cabaran, dugaan dan tribulasi. Itulah yang boleh disimpulkan melihat ketidakstabilan politik di negeri Perak ini, negeri tempatku menimba pelajaran. Perak, satu - satunya negeri yang mempunyai dua Menteri Besar pada satu - satu masa, Ir Nizar dan Zambry. Tatkala Menteri Besar asal masih sah dengan jawatannya, ditabalkan Menteri Besar kedua. Mungkin inilah yang hendak Allah tunjukkan kepada manusia. Sebijak manapun manusia itu menggubal undang - undang, seteguh mana pun perlembagaan satu - satu negeri, jika namanya ciptaan manusia, tetap ada titik - titik kelemahan. Di situlah kita menginsafi kejadian diri kita, yang diciptakan Allah sebagai ciptaan yang terbaik, tapi masih penuh dengan kelemahan - kelemahan.

Kita letakkan perkara pada tempatnya. Biarkan mereka dengan medan mereka, kerana kita ada medan kita debagai mahasiswa. Walaupun begitu, cakna kah golongan mahasiswa melihat perkembangan situasi ini? Persoalan ini ditujukan kepada mahasiswa2 yang berada di Perak. Atau mereka sedang asyik membelek buku - buku teks, menikmati nikmat- nikmat hari muda sehingga mencampakkan situasi politik ini jauh dari benak pemikiran?

Mahasiswa dan jiwa muda

Kita tidak harus gentar dan bimbang apabila melihat golongan - golongan muda memberi respon yang agresif. kita tidak bimbang mendengar ucapan - ucapan pemimpin muda yang kontroversi. Kita tidak kalut melihat pembabitan golongan ini dalam isu - isu semasa yang panas. Kerana inilah fitrah orang muda. Inilah sifat - sifat orang muda yang inginkan perubahan. Sungguhpun begitu, segala perbincangan, perdebatan, perbezaan pendapat di kalangan orang - orang muda ini haruslah dididik oleh golongan berpengalaman dan veteran supaya segala tindak tanduk mereka masih dalam norma peradaban manusia yang berintelek.

apa yang harus kita khuatirkan ialah golongan muda yang senyap, pasif, lembik, dayus dan yang seantara dengannya. Apabila disergah sedikit, senyap seribu bahasa. Apabila pendapatnya ditolak, putus asa tak sudah - sudah. Apabila ideanya dibangkang, membawa diri ke hujung dunia. Golongan inilah yang harus dirawat, kerana golongan ini tidak menuruti fitrah yang sepatutnya ada pada orang muda. Mereka tidak menjiwai semangat muda sebagaimana golongan - golongan sebelum mereka menjiwainya bahkan memperjuangkannya.

sekadar coretan di hari jumaat......

Sunday, January 4, 2009

Pelestin dan Mahasiswa...di manakah kita?

Saat artikel ini ditulis, genap 7 hari Israel Zionis melancarkan serangan berdarah terbesar sejak tragedi Nakba pada di bumi bergolak Palestin. Korban kekejaman ini berjumlah 428 orang dan sentiasa meningkat. Kami, Pelajar Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap penduduk Palestin. Keputusan kerajaan Israel pimpinan si pengecut Ehud Olmert untuk menyerang Gaza disifatkan tindakan bacul demi memenuhi hasrat kejam Israel. Ketamakan Sang Zionis mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka amat menjelekkan masyarakat dunia.

Diakui isu Palestin sedia maklum pada segolongan besar individu namun masih tidak mampu untuk dihayati. Polemik yang berlaku dalam realiti kehidupan adalah pabila di bangkitkan isu berkenaan Palestin, yang bermain di minda adalah sumbangan, derma dan tabung. Pemikiran sadis ini memanifestasikan serata rakyat belum jelas dengan kewajipan untuk membela dan berkemungkinan tidak mengetahui medium untuk menyalurkan bantuan. Tika menghulurkan bantuan, masih lagi menyokong rejim Israel. Mana tidaknya, berhimpun beramai-ramai demi menunjukkan keprihatinan bertujuan mendesak pihak tertentu untuk bertindak membela Palestin, derma disalurkan namun pada masa yang sama meneguk produk Israel. Contoh yang senang, si ayah melarang anak untuk menghisap rokok, tetapi pada masa yang sama si ayah sedang berkepul – kepul menghembuskan asap rokok dengan rokok Dunhill di tangan.

Wahai golongan mahasiswa sekalian!

Anda bakal mencorak dunia. Inilah masanya untuk anda menunjukkan daya keintelektualan anda yang sebenar, setelah berpenat lelah menelaah buku teks yang berjela – jela tebalnya. Inilah medannya untuk kita berpencak dan bersilat. Suara mahasiswa merupakan suara keramat, setiap pendapat mahasiswa ditagih, setiap butir bicara mahasiswa diteliti kerana mahasiswa adalah aset negara. Ayuh, gunakan segala pengaruh, peluang, kenalan malah apa – apa sahaja untuk menyatakan ketidakpuashatian kita kepada Israel dan seterusnya menyedarkan kepada orang ramai bahawa isu Palestin bukan hanya isu rakyat dan negara Palestin, bahkan isu ini melibatkan setiap manusia di muka bumi ini yang melaung – laungkan untuk hidup aman di dunia ini. Jika anda seorang blogger, gunakan blog anda. Jika anda seorang pemimpin persatuan, sebarkan di kalangan ahli – ahli. Jika anda berbakat dalam penulisan, poskan ketidakpuashatian kepada akhbar – akhbar utama. Jika anda seorang ahli sukan, kongsikan bersama rakan – rakan anda. Usah ditanya kesannya, jika kita tidak memulakannya. Usah ditagih hasil yang bergemerlapan, jika usahanya sekecil zarah.



Wahai rakyat Palestin,

Maafkan kami atas ketidakupayaan kami. Sekarang, kami terlalu lemah untuk membelamu dari kejahatan Israel pengecut. Kami terlalu leka dengan kesenangan di bumi kami sehinggakan melupakan kesengsaraan mu. Pandangan kami dikaburi dengan bermacam – macam kenikmatan. Keselesaan kami membutakan kami dari keperitan mu. Berikan kami masa, akan kami pastikan tenaga – tenaga muda kami bersedia untuk berdiri disebelahmu, berlari di hadapanmu, melontarkan hujah – hujah untuk membantumu dan apa saja usaha untuk menamatkan kezaliman yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya ini. Itu janji kami.

Sunday, December 21, 2008

Perjalananku bermula...


Assalamualaikum...

Alhamdulillah, akhirnya impian untuk memiliki blog sendiri tercapai juga akhirnya. Kalau sebelum ni, asyik tengok dan dengar dan kutuk je blog orang yang ntah pape, kini tibalah giliranku untuk melemparkan kesemua pendapatku ke dalam jaringan internet yang tidak bersempadan ini.

"Don't let anyone talk you out of your vision"


Manusia itu diciptakan unik mengikut sifat masing- masing. Semoga perjalananku dalam dunia blog ini dapat meningkatkan kefaham dan skil - skil yang ada untuk digunakan dalam kesempatan hidup yang berbaki beberapa detik ini.

"Begin with the end in your mind"

Kelahiran manusia menunaikan janji kepada Tuhannya, bernafasnya manusia dengan zikir kepada Tuhannya, sihatnya manusia menuntut amalan yang berterusan kepada Tuhannya, kekayaan manusia mensyukuri nikmat pemberianNya, kematian manusia menuntut kasih yang abadi daripada Allah S.W.T.